
Kumpulan pemimpin pendidikan sama ada di sekolah, PPD, JPN dan Bahagian KPM sebagai kumpulan yang bertanggungjawab untuk mengurus guru-guru atau pegawai di bawah pimpinan mereka dalam aspek tugas utama mereka termasuk peningkatan profesionalisme kerjaya. Maka mereka perlulah mengukuhkan lagi kompetensi dalam menyebar luaskan ilmu pengetahuan dan inovasi bagi menjalankan tanggungjawab dalam kepimpinan pendidikan dengan lebih berkesan melalui penyelidikan. Oleh itu Kursus Pengurusan Penyelidikan Pendidikan ini perlu diadakan sebagai salah satu aspek penting dalam mengurus pembangunan profesionalisme warga pendidikan. Kursus ini akan membantu kumpulan pemimpin pendidikan menjalankan tugas sebagai pengurus, pembimbing dan peneraju dalam bidang penyelidikan untuk guru-guru atau pegawai di bawah kepimpinan mereka. Kursus ini juga direka agar mereka diberi peluang menggarap pengalaman, pembelajaran dan kompetensi yang perlu dikuasai dan seterusnya mereka dapat mengetengahkan idea inovasi dan penambahbaikan dalam pendidikan melalui penyelidikan yang lebih luas.
6.4 Tujuan:
Kursus Pengurusan Penyelidikan merupakan kursus yang ditawarkan kepada semua PGB, GPK, Pemimpin Pertengahan, Pegawai-pegawai PPD, JPN dan Bahagian-Bahagian KPM bagi membolehkan tadbir urus secara sistematik kepada semua staf di bawah pentadbiran mereka dalam pengurusan penyelidikan pendidikan. Di samping itu mereka dapat meningkatkan pengetahuan tentang penyelidikan dengan skop yang meluas dan sistematik melalui pengurusan penyelidikan pendidikan.
6.5 Objektif Modul Baharu yang dirangka ini adalah agar barisan kepimpinan pendidikan dapat:
6.5.1 menambah pengetahuan dalam penyelidikan dalam skop yang lebih luas daripada Kajian Lapangan;
6.5.2 memahami dan membimbing warga organisasi pendidikan dalam penyelidikan untuk penambahbaikan tugasan dan seumpamanya; dan
6.5.3 mengurus penyelidikan oleh warga organisasi dengan lebih
sistematik; dan
6.5.4 membantu warga organisasi pendidikan di bawah kepimpinannnya menyebar luas hasil kajian yang telah dijalankan.